Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, November 2, 2009

Tahniah PASTI Kawasan Tawau

Kelantan,Sabtu : Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak PASTI Kawasan Tawau yang telah dianugerahkan sebagai PASTI Kawasan Terbaik di Malaysia pada majlis sambutan Jubli Perak PASTI Malaysia yang diadakan di Kota Bahru pada 31 Oktober 2009 baru-baru ini.Majlis yang dirasmikan pembukaannya oleh Mursyidul Am PAS,Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan telah berlangsung selama 3hari bermula pada 30 Oktober hingga 1 November 2009.


Hadiah kepada penerima anugerah telah disampaikan oleh YB Hj Che Abdullah bin Mat Nawi ADUN N-04,Wakaf Bahru merangkap EXCO kerajaan negeri Kelantan yang telah merasmikan penutupan majlis tersebut. Pengerusi PASTI Kawasan Tawau,sdr Karim Dulah yang menerima penganugerahan tersebut bagi mewakili PASTI kawasan Tawau mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang telah berkorban tenaga,masa dan wang ringgit demi memastikan agar PASTI Kawasan Tawau terus diterima oleh masyarakat umum seterusnya boleh sampai ke tahap sekarang ini.




sumber: Mat Bulan

Thursday, October 15, 2009

Tawau: Konsert Berhibur Cara Islam

Sila war-warkan kepada rakan taulan, sanak saudara.. Berhibur Cara Islam..
Jom Ramai2..

Monday, October 5, 2009

Ihtifal Alam Ria PASTI Kawasan Tawau 2009 Meriah

TAWAU, 4 Okt: Ihtifal Alam Ria PASTI Kawasan Tawau kali ke-9 berlangsung dengan begitu meriah dengan sambutan mencecah 3000 orang jemputan yang hadir di sekitar kawasan Tawau. Majlis Tahunan PASTI ini yang telah diadakan di Stadium Tertutup, Komplek Sukan Tawau telah dirasmikan oleh AJK PAS Pusat, Tn Hj Ahmad Dullah . Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ayahanda Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Tn. Haji Muhammad; Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Pn. Zaiton Ahmad serta pemimpin Pakatan Rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat(PKR) dan juga Democratic Action Party (DAP) kawasan Tawau.

Sebanyak 17 buah PASTI sekitar kawasan Tawau telah berjaya menghantar penyertaan dengan menunjukkan bakat-bakat tunas-tunas Islam kita pada tahun ini. Acara yang telah dipertandingkan adalah Pertandingan Hafazan, Pertandingan Azan, Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Nasyid dan Pertandingan Mewarna.

PASTI Nurul Najah, Taman Megah Jaya telah berjaya merangkul Johan Keseluruhan Ihtifal Alam Ria PASTI 2009 dengan mengumpul markah sebanyak 9 mata. PASTI Nurul Najah merupakan antara 3 buah PASTI yang baru sahaja ditubuhkan pada tahun 2008 yang lalu dengan mempunyai pelajar seramai 48 orang dan 2 orang guru. Naib Johan Keseluruhan pula dimenangi oleh PASTI Nurul Farah Ain, Merotai Besar dengan mengumpul jumlah 8 mata dan ini diikuti oleh PASTI Nurul Siddiq, Taman Semarak , Tempat Ketiga Keseluruhan dengan jumlah mata sebanyak 7 mata. Seperti tahun-tahun yang sudah, saingan yang diberikan oleh anak-aank PASTI kita cukup hebat sehingga mampu mencuit hati-hari para hadirin.

Berikut merupakan keputusan bagi pertandingan-pertandingan yang telah dilangsungkan. Tahniah kepada yang menang, dan teruskan berusaha bagi PASTI yang masih belum berjaya.

Pertandingan Azan*
1. Muhd Abu Ozar b Mohd Don [PASTI Nurul Siddiq, Taman Semarak]
2. Mohd Afnan Afif b Dharmawi [PASTI Nurul Najah, Taman Megah Jaya]
3. Ahmad Ali Arlando b Rahmadin [PASTI Nurul Falah, Kg Titingan]

Pertandingan Hafazan*
1. Sitti Fathanatul Vagin bt Ahmad [PASTI Nurul Izzah, Jalan Saddani]
2. Siti Nurfatihah Solehah bt Nazarul [PASTI Nurul Mawaddah, Taman Ria]
3. Mohd Najib b Mohd Nasri [PASTI Nurul Huda, Kg Pasir Putih]

Pertandingan Deklamasi Sajak
1. PASTI Nurul Najah, Taman Meegah Jaya [Tajuk: Batu]
2. PASTI Nurul Ikhwan, Felda Umas [Tajuk: Jangan Sebarang Kata]
3. PASTI Nurul Farah Ain, Merotai Besar [Tajuk: Aku Hanya Umar]

Pertandingan Nasyid
1. PASTI Nurul Farah Ain, Merotai Besar
2. PASTI Nurul Hidayah, Log Pond
3. PASTI Nurul Falah, Kg Titingan


LENSA IHTIFAL ALAM RIA PASTI 2009



Sunday, September 27, 2009

Ihtifal Alam Ria PASTI Kawasan Tawau 2009

Ihtifal Alam Ria
PASTI Kawasan Tawau 2009


Tarikh:
3, 4hb Oktober 2009

Tempat:
Bilik Diraja Masjid Al-Kauthar (3hb) - Reheasel
Kompleks Sukan Tawau (4hb)

Mari saksikan 17 PASTI sekitar Kawasan Tawau berentap!!
PASTI meriah!! Menunjukkan kehandalan masing-masing!!
~PASTI Memimpin Perubahan~

Atucara Majlis

Ketibaan Ibubapa/ Tetamu
Ketibaan Perasmi
Bacaan Doa
Ucapan Alu-aluan Penegerusi PASTI Kawasan Tawau
Ucapan Perasmian: Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau
Penyampaian Cenderahati Pelajar Terbaik Peringkat Negeri Sabah 2008

Pertandingan Hafazan Al Quran
(Akhir)
Pertandingan Azan (Akhir)
Pertandingan Deklamasi Sajak
(Akhir)
Pertandingan Nasyid
Pertandingan Mewarna

Penyampaian Hadiah kepada Pemenang
~Cabutan Bertuah~


Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, sila berhubung dengan
PEJABAT PASTI KAWASAN TAWAU
di talian: 089-760221

Thursday, September 17, 2009

PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN PAS



Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ramadhan Al Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang-orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri.

Tanda orang bertaqwa pula ialah kita menjadikan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai panduan yang hakiki dalam kita melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Ianya merangkumi pelbagai cabang kehidupan kita : bukan setakat makan-minum-pakaian yang halal semata-mata, tetapi juga cara untuk menguruskan rumahtangga, berhubung sesama manusia sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat, bahkan hinggalah kepada cara bernegara.

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan Al Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawadhuk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan “Eid Mubarak” kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ikhlas,
Presiden PAS

MANTAN AJK PASTI TAWAU MENINGGAL DUNIA

RABU- Mantan AJK PASTI Kawasan Tawau,Cikgu Fatmang Renreng telah meninggal dunia pada malam tadi di wad I.C.U Hospital Besar Tawau.Allahyarham yang juga merupakan ahli PAS Kawasan Tawau telah menjadi AJK PASTI Kawasan Tawau sekitar tahun 2000 yang mana Pengerusi PASTI pada ketika itu ialah Cikgu Hassan Aladi.




Menurut sumber yang diterima,hampir 50% badan Allahyarham melecur kerana terlibat dengan insiden letupan dapur gas di rumahnya sendiri.Menurut jiran,Allahyarham cuba memperbaiki dapur gasnya yang bocor namun agak malang apabila ianya meletup secara tiba-tiba dan mengakibatkan beliau mengalami kecederaan yang serius.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah perkuburan orang-orang Islam dekat Sekolah Agama Rakyat Islamiah,jalan Utara pada esok(khamis) sekitar jam 12 tengah hari.Penulis mengharapkan agar semua sahabat handai dan sesiapa juga yang mengenali Allahyarham agar dapat menziarahi dan turut sama mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama dengan orang-orang yang beriman,amin.

sumber: Blog Rasmi PAS Kawasan Tawau

Al-fatihah..

Wednesday, September 16, 2009

PROGRAM RUMAH TERBUKA AIDILFITRI PAS KAWASAN TAWAU


Dengan ini
PAS KAWASAN TAWAU
menjemput seluruh warga Tawau
ke

RUMAH TERBUKA PAS AIDILFITRI
KAWASAN TAWAU


Pada: 6 Syawal 1430H bersamaan 26hb September 2009
Hari: Sabtu
Masa: 9.00 pagi - 3.00 petang
Tempat: PASTI Taman Ria, Tawau


Sungguh cantik kain pelekat, Dipakai orang pergi ke pekan.
Hari raya semakin dekat, Silap dan salah mohon dimaafkan

Berharap padi dalam lesung, Yang ada cuma rumpun jerami,
Harapan hati bertatap langsung, Cuma terlayang di blog ini.

Sebelum cahaya syurga padam, Sebelum hidup berakhir,
Sebelum pintu tobat tertutup, Kami PASTI KAWASAN TAWAU mohon maaf zahir dan batin....

Friday, September 11, 2009

Salam Pecutan Ramadhan

Menanti sebuah malam.

Menanti atau mencari dan memburunya?

Lailatul Qadar adalah malam yang pasti datang. Jika menantinya itu hanya dengan sekadar berjaga malam, maka orang-orang yang bersekang mata tanpa berbuat apa-apa itulah yang beruntung dilintas kehadiran malam itu. Sesungguhnya ia bukan malam penantian, tetapi malam pemburuan dan pencarian.

Entahlah di malam 21, atau malam 23, atau malam-malam ganjil yang lain… Lailatul Qadar dianugerahkan. 9 Ramadhan yang ditempuh Rasulullah SAW di sepanjang hayat Baginda selepas pensyariatan ibadah puasa, menyebabkan riwayat-riwayat tentang Lailatul Qadar hanya tersimpul sebagai suatu anugerah yang diberi pada 10 malam terakhir Ramadhan itu.

“Mengapa tidak ditetapkan sahaja satu malam yang khusus bahawa itulah malam Lailatul Qadar?” ada yang bertanya.

“Anta cadangkan malam yang mana?” saya pun bertanya seada-adanya.

“Malam 27 barangkali” katanya.

“Maka beruntunglah penjual minyak tanah dan pelita untuk malam tujuh likur itu ya!” saya bergurau.

“Eh, ke situ perginya ustaz” kata beliau.


KEKELIRUAN E-BACAAN (ANTI HADITH)


Saya terbaca sebuah artikel yang dikarang di halaman web e-bacaan yang menolak hadith-hadith Nabi SAW termasuk hadith berkaitan Lailatul Qadar. Ulasan penulisnya mengatakan bahawa penantian atau pencarian Lailatul Qadar itu adalah sia-sia kerana kesemua hadith berkaitan, bertentangan di antara satu sama lain. Walhal hadith-hadith itu adalah himpunan dialog dan penjelasan Nabi SAW tentang Lailatul Qadar pada sekurang-kurangnya 9 kali ketibaan Ramadhan di sepanjang hayat Kerasulan Baginda SAW. Setiap hadith itu diungkapkan pada tahun-tahun yang berbeza, bukannya saling bertentangan seperti yang terfahamkan oleh golongan anti hadith ini.

Soalnya, bagaimana kalau ketidakpastian itu suatu kesengajaan? Ia bukan kejahilan tetapi ada rahsia besar di sebalik semuanya?


MAKAN GAJI VS KERJA SENDIRI


Lebih mudah untuk kita analogikan seorang yang makan gaji dengan seorang yang berniaga sendiri. Orang yang makan gaji, pendapatannya tetap setiap hujung bulan. Sama ada dirinya produktif atau tidak, hasilnya sama. Malah pada bulan Ramadhan ini, dengan membanyakkan tidur di pejabat dan pulang awal setiap hari, hasil pendapatan tetap sama. Sesuatu yang tetap dan pasti, rupa-rupanya boleh menjejaskan kesungguhan dan produktiviti, seiring dengan kurangnya rasa bersyukur atas kurniaan.

Berbeza pula dengan yang berniaga sendiri. Penghasilannya amat bergantung kepada kesungguhan, kerajinan dan produktiviti masing-masing. Kuat bekerja banyak hasilnya. Sedikit berusaha, terjejaslah pendapatannya.

Ketidakpastian adalah rahsia kesungguhan dan kerja keras yang diperlukan. Ketidakpastian + usaha keras = kemajuan, itu sifirnya.

Demikianlah hikmah sebuah ketidakpastian.

LIPATGANDA


30 hari yang terlalu panjang itu mungkin berat untuk sebuah pencarian. Justeru Islam memberitahu bahawa tingkatkan usaha mengejar Lailatul Qadar yang tidak pasti itu pada malam-malam 10 yang terakhir. Lantaran ia hadir pada malam-malam yang tidak ditentukan, manusia yang ada azam untuk berjaya akan melipatgandakan usaha untuk berhasil menemuinya. Malam Lailatul Qadar.

Kesungguhan itulah pelengkap proses Taqwa.

Kesungguhan yang diperlukan untuk sebuah kehidupan yang pasti ada jangka masa, tetapi persoalan bila itu dibiarkan sebagai sebuah ketidakpastian. Mati itu tentu, masanya tidak pasti. Antara ketentuan dan ketidakpastian ajal, seorang mukmin memajukan sebuah kehidupan.

Memikirkan peluang beramal berakhir pada jangka waktu yang tidak pasti, Nabi SAW memberi ingatan kepada kita agar mengerjakan solat dengan “SOLAT PERPISAHAN”. Bayangkan setiap solat yang didirikan sebagai solat terakhir kita, kerana mati itu tidak pasti. Kerana kita mati sentiasa di antara dua solat…

Ketidakpastian yang mendesak kesungguhan juga perubahan.

“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)


sumber: http://saifulislam.com/

Yang Telah Berlalu..

IFTAR JAMAEI SEPANJANG RAMADHAN
Anjuran : PAS Kawasan Tawau
Masa : 5.00 pm
Pengisian : Tadarus Al Quran, Berbuka, Tarawikh & Tazkirah

Iftar Jamaei 2
Tarikh : 5hb September 2009
Tempat : Madrasah Darul Hidayah
* Pelancaran Tabung Pilihanraya Umum 13

Iftar Jamaei 1
Tarikh : 29hb Ogos 2009
Tempat : PASTI Nurul Hannani, Jalan Kuhara


BENGKEL KEWARTAWANAN

sumber: http://pemuda-tawau.blogspot.com/

Tarikh : 30hb Ogos 2009
Masa : 8.00 am
Tempat : Bilik Mesyuarat PAS Kawasan Tawau
Anjuran : Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau
Yuran : Percuma

PROGRAM SEJENAK DI KG PASIR PUTIH

Foto 1: Kehadiran orang kampung yang layak menerima bantuan sedang khusyuk mendengar ucapan pimpinan PAS Kawasan Tawau

Foto 2: Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Tuan Haji Muhammad telah berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada penerima sumbangan.

Tarikh : 29hb Ogos 2009
Masa : 8-12 pm
Tempat : PASTI Nurul Huda, Kg Pasir Putih
Anjuran : Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau

Thursday, August 27, 2009

PROGRAM: SEJENAK DI KG PASIR PUTIH

PASTI KAWASAN TAWAU
dengan ini menjemput semua warga Kg Pasir Putih
untuk sama-sama memeriahkan

Program Sejenak di Kg. Pasir Putih
bersama
Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau

bertempat di
PASTI Nurul Huda , Kg Pasir Putih


Semoga kehadiran kita akan memeriahkan lagi majlis


Tentatif Program:
9.00 - 9.30 Kehadiran warga kampung
9.30 - 9.45 Ucapan Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau
10.00 - 10.30 Ucapan AJK PAS Pusat
10.30 - 11.00 Taklimat Kesihatan H1N1
11.00 - 11.30 Pemberian Sumbangan




Sunday, August 23, 2009

Salam Ramadhan 1430H


PASTI KAWASAN TAWAU
dengan ini
ingin mengucapkan
SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA
KEPADA
SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT

Semoga Ramadhan kali ini dapat memberi kita peluang untuk meningkatkan amal ibadah kita.
Kullu 'am wa antum bi khair

Dari kami:
Seluruh Warga Kerja
PASTI Kawasan Tawau


Monday, July 13, 2009

TANDA-TANDA IMAN SEDANG LEMAH

Ikhwah dan akhawat yang dirahmati ALlah...

Iman adalah mutiara dan pemangkin dalam diri kita para mukmin, lebih-lebih lagi akh amilin yang terlibat di medan dakwah. Halangan yang berbagai di hadapan kita menuntut kita melihat kepada darjah iman kita. Oleh itu, jika kita dapati iman lemah, maka dapatkan anasir yang menguatkannya. Bagaimana mengenali iman yang lemah itu? Tips di bawah memandu kita untuk mengenalinya.

1. Ketika anda sedang melakukan kedurhakaan atau dosa.
Hati-hatilah! Sebab, perbuatan dosa jika dilakukan berkali-kali akan menjadi kebiasaan. Jika sudah menjadi kebiasaan, maka segala keburukan dosa akan hilang dari penglihatan kita. Akibatnya, kita akan berani melakukan perbuatan durhaka dan dosa secara terang-terangan.

Rasulullah saw. bersabda,
“Tidak ada pezina yang di saat berzina dalam keadaan beriman. Tidak ada pencuri yang di saat mencuri dalam keadaan beriman. Begitu pula tidak ada peminum arak di saat meminum dalam keadaan beriman.” (Bukhari, hadis nombor 2295 dan Muslim, hadis nombor 86)

2. Ketika hati anda terasa begitu keras dan kaku.
Sehingga menyaksikan orang mati terkujur kaku pun tidak dapat menasihati dan melunakkan hati anda. Bahkan, ketika ikut mengangkat si mayat dan mengebumikannya dengan tanah tidak memberikan apa-apa kesan kepada hati kita. Hati-hatilah! Jangan sampai kita masuk ke dalam ayat ini, “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.” (Al-Baqarah: 74)


3. Ketika anda tidak tekun dalam beribadah.
Tidak khusyuk dalam solat. Tidak menyemak dalam membaca Al-Qur’an. Mengelamun semasa berdoa. Semua dilakukan sebagai rutin sahaja dan semakan hafalan karena kebiasaan saja. Tidak memberi konsentrasi sama sekali. Beribadah tanpa ruh. Ketahuilah! Rasulullah saw. berkata, “Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main.” (Tirmidzi, hadis nombor 3479)


4. Ketika anda terasa malas untuk melakukan ketaatan dan ibadah.
Bahkan, meremehkannya. Tidak melakukankan shalat di awal waktu. Mengerjakan shalat ketika 'injury time', waktu solat sudah penghujungnya. Menunda-nunda pergi haji padahal kesihatan, waktu, dan kewangan telah cukup. Menunda-nunda pergi solat Jumaat dan lebih suka berada di saff yang paling belakang. Waspadalah jika kita berprinsip, datang paling lewat, pulang paling cepat. Ketahuilah, Rasulullah saw. bersabda, “Masih ada saja segolongan orang yang menunda-nunda mengikuti saff pertama, sehingga Allah pun menunda keberadaan mereka di dalam neraka.” (Abu Daud, hadis nombor 679)
Allah swt. menyebut sifat malas seperti itu sebagai sifat orang-orang munafik. “Dan, apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas.”

5. Ketika hati anda tidak merasa lapang.
Dada terasa sesak, perangai berubah, merasa sempit dada dengan tingkah laku orang di sekitar anda. Suka membesar-besarkan hal-hal kecil lagi remeh-temeh. Ketahuilah, Rasulullah saw. berkata, “Iman itu adalah kesabaran dan kelapangan hati.” (As-Silsilah Ash-Shahihah, nombor 554)


6. Ketika anda tidak tersentuh oleh kandungan ayat-ayat Al-Qur’an.
Tidak bergembira ayat-ayat yang mengandungi janji-janji baik dari Allah. Tidak takut dengan ayat-ayat ancaman. Tidak tenang dikala mendengar ayat-ayat perintah. Hati tidak tersentuh ketika membaca ayat-ayat mengenai kiamat dan neraka. Hati-hatilah, jika anda merasa bosan dan malas untuk mendengarkan atau membaca Al-Qur’an. Jangan sampai anda membuka mushaf, tapi di saat yang sama melalaikan isinya dan tidak melaksanakan perintahnya.

Ketahuilah, Allah swt. berfirman, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. ” (Al-Anfal:2)

7. Ketika anda melalaikan Allah dalam hal berzikir dan berdoa kepada-Nya.
Sehingga kita merasa berzikir adalah pekerjaan yang paling berat. Jika mengangkat tangan untuk berdoa, secepat itu pula kita menangkupkan tangan dan menyudahkannya. Hati-hatilah! Jika hal ini telah menjadi tingkahlaku dan amalan kita. Sebab, Allah telah menyifatkan orang-orang munafik dengan firman-Nya, “Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali.” (An-Nisa:142)


8. Ketika anda tidak merasa marah ketika menyaksikan dengan mata kepala sendiri pelanggaran terhadap hal-hal yang diharamkan Allah.
Keghairahan kita padam. Anggota tubuh kita tidak tergerak untuk melakukan nahi munkar. Bahkan, raut muka kita pun tidak berubah sama sekali. Sedangkan kadangkala maksiat yang dilakukan boleh membawa kepada kekufuran.
Ingatlah, pesan Rasulullah saw. ini, “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah kemungkaran itu dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Kalau tidak sanggup, maka dengan hatinya, dan ini adalah selemah-lemahnya iman.” (Bukhari, hadis nombor 903 dan Muslim, hadis nombor 70)

9. Ketika anda mahukan penghormatan dan suka menonjol diri.
Gila kedudukan, menonjolkan diri untuk tampil sebagai pemimpin tanpa mempunyai kemampuan dan tanggung jawab. Suka menyuruh orang lain berdiri ketika dia datang, hanya untuk mengenyangkan jiwa yang sakit karena begitu suka diagung-agungkan oleh orangramai.

Allah berfirman, “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Luqman:18)


“Jika kamu sekalian menghendaki, akan kukhabarkan kepadamu tentang kepemimpinan dan apa kepemimpinan itu. Pada awalnya ia adalah cela, keduanya ia adalah penyesalan, dan ketiganya ia adalah azab hari kiamat, kecuali orang yang adil.” (Shahihul Jami, 1420).


Untuk orang yang tidak tahu malu seperti ini, perlu diingatkan sabda Rasulullah saw. yang berbunyi, “Iman mempunyai tujuh puluh lebih, atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama adalah ucapan `Laa ilaaha illallah’, dan yang paling rendah adalah menghilangkan sesuatu yang mengganggu dari jalanan. Dan malu adalah salah satu cabang dari keimanan.” (Bukhari, hadis nombor 8, dan Muslim, hadis nombor 50)

10. Ketika Anda bakhil dan kikir.
Ingatlah perkataan Rasulullah saw. ini, “Sifat kikir dan iman tidak akan bersatu dalam hati seorang hamba selama-lamanya. ” (Shahihul Jami’, 2678)

SUMBER: http://youngsmkbg.blogspot.com/

Wednesday, July 8, 2009

PROGRAM TERKINI PASTI KAWASAN TAWAU

1. MAJLIS RAMAH MESRA PASTI 2009
Tarikh: 12 HB JULAI 2009
Masa: 8 pagi
Tempat: Bilik Diraja Masjid AlKauthar, Tawau
Jemputan kepada semua Ahli Jawatankuasa Lama & Baru

video

2. BENGKEL IT GURU PASTI
Tarikh: 18hb Julai 2009
Masa: 8.15 pagi
Tempat: Kolej Komuniti Tawau

3. MUNAQASYAH UCAPTAMA DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT
Tarikh: 19hb Julai 2009
Masa: 8 pagi
Tempat: PASTI Taman Ria

Monday, June 22, 2009

SUKANEKA PASTI KAWASAN TAWAU 2009

SUKANEKA
PUSAT ASUHAN TUNAS ISLAM (PASTI) KAWASAN TAWAU
KALI KE 22
TAHUN 2009


Sukaneka Pusat Asuhan Tunas Islam PASTI Kawasan Tawau Tahun 2009
akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 28 Jun 2009 (Ahad)
Tempat: Padang Bandaran, Tawau.

SEMUA dijemput Hadir untuk memeriahkannya!!!!!

Thursday, June 18, 2009

Sekalung Tahniah Buat Cikgu Sarifah

Masih belum terlambat ucapan Sekalung Tahniah buat Cikgu Sarifah dan Suamin, Saudara Lasharudin. Selamat membina baitu dakwah buat kedua-dua mempelai.
Ya Allah..,
"Satukanlah hati Sarifah & Lasharudin
seperti Engkau satukan hati Nabi Adam & Hawa,
Nabi Yusof & Zulaikha dan seperti Engkau satukan

hati Nabi Muhammad SAW & Siti Khadijah.
Murahkan rezeki mereka dan

kurniakanlah zuriat yang beriman

dan beramal soleh.

Semoga kehidupan mereka dipenuhi
Al-Mawaddah dan Ar-Rahman
di dunia dan akhirat"


Amin Ya Rabbal Alamin


Foto: Lensa PASTI Tawau di Majlis Perkahwinan Cikgu Sarifah n Suami

Thursday, June 4, 2009

Mana Satu Pilihan HATI


Kesempatan ini..maklumlah cuti sekolah ini ramai warga PASTI mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkhawinan.Jemputan yang diterima oleh pihak pengurusan PASTI terlalu banyak. Kami dari Seluruh warga pihak pengurusan PASTI ingin mengucapkan selamt mendirikan istana baru kepada guru PASTI
Sdri Sarifah Setahing Pada 06/06/2009(sabtu) Dan sahabat Nisa Sdri Hasnuri.

SEMUA DIJEMPUT HADIR


Saya bertanya kepada emak, “mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang? ”
Mak jawab, “dua-dua bukan..”
Saya tercengang.. Mak mengukir senyuman.

“Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah..” Saya menarik nafas dalam-dalam.

“Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?” Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya. “Yang paling tahu hanya Allah..” mak merenung dalam-dalam wajah anaknya. “Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.. ” mak menyusun ayat-ayatnya. “Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu..”

Saya memintas, “Tak faham..”


Mak menyambung “Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah..” Mak menyambung lagi, “begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu..” Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini.. Mak menyambung “Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki,jodoh dan maut sejak azali lagi..Persoalannya ialah.. Siapakah jodohnya itu?” mak berhenti seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.

Secret Admire
“Kakak, mak dulu masa besar ada secret admire.. Rajin betul dia hantar surat..Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal..Dan masa tu mak tekad tak mahu layan sebab mak takut arwah tokwan kena seksa dalam kubur.. Mak sedar mak anak yatim, anak orang miskin, adik beradik ramai.. Mak nak belajar sungguh-sungguh. . Lama budak tu tunggu mak.. Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu.” Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

“Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?” saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak. Emak ketawa kecil. “Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu.. Mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain.. Mak, seperti kakak..” mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

“Mak anak ustaz ustazah.. Tapi zaman tu ustaz ustazah nya masih berkebaya pendek dan ketat. Tok wan mak kiyai. Mungkin berkat doa keturunan sebelum ni yang soleh-soleh, hati mak tertarik sangat pada agama walaupun tiada sesiapa yang mendorong.. Bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung.. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji.. Sebab zaman tu hujung 70an dan awal 80an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya..Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya..” emak melemparkan pandangan ke lantai. “Selepas tu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan..” sambung emak. Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

“Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak.. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak..” mak menelan air liurnya. Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.


Adakah ia suatu diskriminasi?
“Kakak.. Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni..Tetapi kita kena ingat.. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai.. Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin.. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali.. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya..” Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak. Emak meneruskan, “Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya..Sesungguh nya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba tu sendiri.. Sebabnyam hamba tu degil. Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan. Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain.. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus.. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah.. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah.. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya.” emak berhenti seketika..

Bukan luar biasa

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini. “Kakak.. jadi di sini mak nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang.. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita bagi tau pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beri tahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata. . ”

“Kakak.. Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. . Hanya Allah yang boleh memegangnya. . Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya,rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti. ”

Redha

“Kakak.. Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah.. Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia.. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur.. ” Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.


Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. “Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah.. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara..” Emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.



Sunday, May 24, 2009

Baitul Muslim

Imam al-Ghazali berkata: “Alangkah baiknya kamu mencari sebab untuk berkahwin, menjaga adab-adab perkahwinan dan jelas dengan tujuan perkahwinan”

Surah an-Nur: (24: 32): “Dan kahwinkanlah orang yang sendirian(bujang) antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba sahayamu yang lelaki dan hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Mafhum Hadith: “Setelah anak perempuan berusia 16 tahun maka nikahkanlah ia dan ketika itu seorang bapak memegang tangannya sambil berkata : “Anakku, engkau telah kudidik, kuajar, dan ku nikahkan, semoga aku dilindungi oleh Allah dari bencana dunia dan akhirat.”

Rasulullah SAW bersabda: “Wahai para pemuda, sesiapa yang sudah bersedia berkahwin, hendaklah dia segera berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu boleh menghalang pandangan (kepada yang dilarang oleh agama) dan memlihara kehormatan. Dan barangsiapa yang tidak sanggup, hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya puasa itu adalah perisai baginya”. (H.R Bukhari & Muslim).

Nasihat Rasulullah SAW kepada ummatnya khususnya ibu bapa selaku wali, “Sekiranya datang kepadamu orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Jika tidak, akan muncul bahaya dan kerosakan” (H.R. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Perkahwinan adalah amanah Allah SWT. Untuk menyempurnakan amanah Allah itu ia memerlukan lima rukun iaitu:

1. Calon suami
2. Calon isteri
3. Wali
4. Dua orang saksi
5. Sighah ijab qabul

Jika kekurangan salah satu rukun itu maka perkahwinan itu tidak sah.

Menurut Seksyen 8, Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan:
“Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas(18) tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam bela(16)s tahun kecuali jika Hakim Syariah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”.

Para Fuqaha sependapat bahawa wali tidak boleh enggan untuk menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya, tidak boleh menyakitinya atau melarangnya berkahwin walhal pilihan perempuan itu memenuhi kehendak syarak.
Diriwayatkan dari Ma’qil bin Yasar, ia berkata: “Saya mempunyai saudara perempuan . Ia dipinang ole seorang pemuda yang mempunyai pertalian darah dengan saya. Saya kahwinkan perempuan itu dengan pemuda tersebut, kemudian diceraikan dengan talak yang boleh dirujuk. Perempuan itu ditinggalkan sampai habis eddahnya. Tidak berapa lama kemudian, pemuda itu datang lagi untuk meminang, maka saya jawab:”Demi Allah, saya tidak akan mengahwinkan engkau dengan dia selama-lamanya”. Peristiwa ini disampaikan kepda Nabi saw. Berhubung dengan peristiwa ini, Allah swt menurunkan ayat Al-Quran :
“Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu habis masa eddahnya, maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin dengan bakal suaminya”.
(Al-Baqarah : 232)
Kemudian Ma’qil berkata: “Kemudian saya membayar kifarah sumpah dan perempuan itu saya kahwinkan dengan lelaki berkenaan”.
(Riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud)

Dalam sebuah hadith yang lain dinyatakan:
“Ada tiga perkara yang tidak boleh ditanggungkan iaitu: solat bila telah datang waktunya, jenazah bila telah terlantar dan wanita janda yang telah bertemu jodohnya”.
(Riwayat At-Tirmizi dan Hakim)

5 PERKARA YANG PERLU DISEGERAKAN DALAM ISLAM SEKIRANYA BERLAKU

1- Menyediakan makanan pada tetamu yang datang dengan segera.

2- Penyempurnaan jenazah setelah meninggal dunia.

3- Perkahwinan perlu disegerakan sekiranya seseorang itu perempuan yang cukup umur..

4- Pelangsaian hutang..

5- Bertaubat setelah melakukan dosa..



Oleh yang demikian, perbuatan wali menghalang atau enggan menikahkan wanita tanpa ada alasan syarak adalah dilarang dan dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita itu.
Menurut Jumhur Fuqaha (Syafi’e, Maliki dan Hambali) apabila wali aqrab enggan menikahkan pengantin perempuan, maka wali hakimlah yang menikahkannya.

Rasulullah saw bersabda:

“Kalau wali-wali itu enggan maka Sultan atau hakim menjadi wali bagi perempuan yang tidak mempunyai wali”.
(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Dalam kes Azizah bte Mat lawan Mat bin Salleh (1976, Jld. II, I JH) mengenai wali enggan di Mahkamah Kadhi Perlis, Yang Arif Kadhi Mahmood bin Lebai Man (pada masa itu) memutuskan, perempuan itu berhak mendapat wali Raja atau hakim untuk berkahwin dengan Mansor bin Isa dengan mas kahwin dan belanja yang tidak ditetapkan.
Fakta kes itu adalah seperti berikut: Seorang perempuan telah menuntut di Mahkamah Kadhi supaya ia dikahwinkan dengan Mansor bin Isa secara wali hakim kerana bapanya enggan mewalikannya dalam perkahwinan itu dengan mas kahwin sebanyak RM80.00 dan hantaran RM202.00 tunai.

Pihak bakal suami telah mencuba beberapa kali untuk meminang perempuan tetapi dihalang oleh bapa dengan alasan “Tunggulah dulu sehingga anak perempuannya mendapat pekerjaan”. Bakal suami itu bekerja sebagai Pembantu Audit.
Kadhi ketika memutuskan kes itu menyatakan :
“Berdasarkan kepada hukum syarak, apabila seseorang wali itu tidak mahu mewalikan nikah anaknya kerana enggan atau berselisihfaham, maka bolehlah dinikahkan perempuan itu dengan wali hakim atau wali Raja dengan alasan:

Pertama: Daripada Aisyah r.a. Nabi saw bersabda:

“Jika mereka berselisih , maka Sultan atau Rajalah wali bagi orang yang tidak ada wali”.
(Riwayat Abu Daud, Ahmad dan At-Tirmizi)

Kedua: Rasulullah saw bersabda:

“Kalau datang kepadamu lelaki beragama dan berakhlak baik, maka nikahkanlah ia. Jika kamu tidak melakukannya nescaya akan terjadi fitnah dan kerosakan yang besar”.
(Riwayat At-Tirmizi)

Ini bermakna wali yang enggan menikahkan seseorang perempuan tanpa alasan munasabah mengikut syarak, maka hak wali itu berpindah kepada wali hakim.

“ Barangsiapa yang dikurniai seorang isteri(atau suami) yang solehah,bererti dia telah menyempurnakan setengah dari ad-Dinnya. Maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah setengah lainnya”.(Hadith riwayat ath-Thabrani, al-hakim dan al-Baihaqi dari Anas bin Malik)

Kalau seandainya kita mengungkap kembali sirah, kemiskinan tidak sedikit pun membuat Ali bin Abi Talib takut untuk menikahi puteri Rasulullah, Fatimah, sehinggakan baju besi Ali sendiri dijadikan mas kahwin kerana beliau tidak punya apa-apa selain itu. Melihatkan daripada kisah sahabat tersebut, tentunya dalam kondisi kita sekarang ini semakin panasaran mengapa sahabat yang semiskin itu tetap bersemangat untuk menikah, kita bagaimana? Yang perlu kita fahami adalah mereka adalah pemuda-pemuda Islam yang mampu bekerja untuk memenuhi kewajipan keluarga dan tidak perlu mengumpulkan ekonomi yang mapan baru berani untuk menyunting bunga. Mereka mempunyai azam dan matlamat yang jelas dalam pernikahan, iaitu bagi menyempurnakan sebahagian agamanya dan kemudian itu lahirlah generasi-generasi mujahid yang tegar untuk membela Islam. Mereka mendambakan sebuah keluarga Islami yang mampu melahirkan geneasi mujahid untuk akan datang.

Thursday, May 21, 2009

SEJARAH PASTI


Cetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bemula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pemdidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat didikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam yang pada peringkat awalnya diberi nama TADIKA ISLAM.

Antara negeri-negeri awal yang melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Namun di sana terdapat sesuatu yang menarik daripada segi pengasasan, pengolahan dan pengendalian pusat-pusat berkenaan, suasana di mana berlakunya persefahaman antara jamaah Islam khususnya Parti Islam se-Malaysia (PAS) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah membahagikan peranan pendidikan ini kepada ABIM. Seawal tahun 1980 telah lahirnya pusat-pusat pendidikan prasekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI).

Di Terengganu pada tahun 1985 TAsKI dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negari Terengganu. Manakala di Kelantan pusat prasekolah yang dikenali sebagai Putra Islam dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negari Kelantan sejak tahun 1988.

Di Kedah dan beberapa negeri lain khususnya di sebelah utara telah wujud pusat-pusat prasekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda Pas negeri masing-masing. Pada tahun 1988 hasil daripada penyelarasan semula semua TASKI yang dikelolakan oleh ahli-ahli PAS. Tanggal 10 April 1987 Dewan Pemuda PAS Pusat melalui muktamar Tahunan ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.


Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk di peringkat Pusat diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah untuk menyelaraskan PASTI.

Pada 29-30 Mei 1988 tekah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat. Dua kertas kerja telah dbentangkan iaitu “Struktur Organisasi dan Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Abd Halim Arshat dan “Penyelarsan Manhaj Pendidikan Prasekolah” oleh Ustaz Harun Taib. Ustaz Abu Bakar Abdullah telah dilantik sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama pada 18 Mei 1989 bersama saudara Haji Mohd Najib Fahami Haji Yahya sebagai sebagai Timbalan Ketua Pengarah, saudara Ishak Ismail sebagai Setiausaha dan saudara Noh Ahmad sebagai Bendahari serta Pengarah-Pengarah PASTI Negari sebagai Ahli Jawatankuasa PASTI Pusat.

Pada 21 Julai 1991 Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat telah megarahkan semua PASTI menggunakan logo baru yang rasmi dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi Pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat.

PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ini dengan penambahan kelas-kelas di seluruh negara dan pada suatu ketika meratai kesemua 14 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.


Warna-Warni Hari Guru PASTI Peringkat Kebangsaan

Alhamdulilah, Hari Guru PASTI ke-25 telah selesai dijalankan di Hotel Emas,Tawau,Sabah pada 16 Mei 2009 dengan tema “25 tahun PASTI Memimpin Perubahan’” yang dirasmikan oleh YB Tuan Hj Salahuddin Ayub,Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.Antara ucapannya penegasan bahawa guru – guru PASTI adalah antara tenaga penting yang menjana kejayaan PAS membelah benteng penghalang antara parti dengan masyarakat .

Nyanyian NegaraKu

Nyanyian NegaraKu

Sejak 25 tahun yang lalu , PASTI yang diasaskan pada zaman kepimpinan Al Fadhil Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat , kini sedang merajah peta perluasannya dan mewajah capaian gemilang dalam khidmat pendidikan yang cukup meyakinkan masyarakat .

Yb. Tuan Hj Salahudin Ayub turut mensasarkan satu tahap keupayaan yang boleh direalisasikan dengan penuh komitmen dan istiqamah , iaitu capaian untuk jangka 25 tahun mendatang bahawa PASTI bukan sahaja gah dengan cawangannya di seluruh pelusuk negara tetapi juga mampu dan berjaya menubuhkan sebuah universiti guna melahirkan tenaga pendidik atau guru yang lebih berkemampuan dan memiliki kepakaran yang berkeupayaan tinggi untuk mengangkat martabat pendidikan Islam dalam negara .
Guru-guru yang hadir

Guru-guru yang hadir

Bahkan PASTI juga sangat diharapkan agar dapat mengumpulkan segala tenaga pakarnya untuk merangka satu Penyata PASTI dan pelan pendidikan negara yang berkesan bagi menggantikan Penyata Rahman Talib dan Penyata Razak yang dilihat semakin usang dan tidak lagi efektif untuk menangani krisis pencapaian akademik dan konflik solidariti yang kian membarah dikalangan masyarakat kita .
Kita tidak mahu hanya sekadar berupaya melahirkan pelajar atau generasi berminda A sebaliknya apa yang kita mahu capai ialah penguasaan seimbang dalam melahirkan kecemerlangan intelektual , emosional dan spiritual insan .
.

IMG_1551

Dewasa kini PASTI telah meletakkan dirinya sama aras dengan pusat pengajian integrasi peringkat pra persekolahan , malah secara pratisnya PASTI kini berjaya melaksanakan misi dan visinya merentas sempadan ideologi parti politik , bangsa dan agama .

Sebahgian guru yang hadir

Sebahgian guru yang hadir

Jam 9.30 pagi Ikrar guru, Persembahan Nasyid oleh murid PASTI Tawau,Deklamasi sajak oleh Guru PASTI.

Ikrar guru

Ikrar guru

Pelancaran Buku Log Latihan Perguruan PASTI oleh YB Salahudin diikuti penyampaian Anugerah kepada Tokoh PASTI Negeri-negeri,Anugerah Guru Paling lama berkhidmat,Anugerah Tokoh Guru Cemerlang dan Tokoh Guru Kebangsaan..

Persembahan Nasyid oleh Pelajar

Persembahan Nasyid daripada PASTI Nurul Mawaddah Taman Ria

Selepas selesai Sesi Penyampaian Anugerah, diadakan sesi fotografi dan Jamuan ringan.

Pada sebelah petangnya,Guru dan ALP meneruskan aturcara masing-masing..

Terima kasih kepada ALP PASTI Sabah dengan bersungguh-sungguh menyediakan keselesaan kepada semua peserta yang terlibat.

Tokoh-tokoh Guru kebangsaan
Tokoh-tokoh Guru kebangsaan

Tokoh Guru Kebangsaan telah dianugerahkan kepada Ustazah Faridah Binti Dawam dari Perak.

Turut hadir juga ialah Yg Bhg Dato’ Hj Abu Bakar Chik,YB Mahfuz Omar, YB Zaki Ibrahim, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat,Ustaz Nasharudin Hassan.